47: AL-KARIM,
TUMPUAN SEGALA HAJAT
|
JANGAN DILAMPAUI
NIAT TUJUAN KAMU KEPADA SELAIN-NYA KERANA AL-KARIM TIDAK DAPAT DILAMPAUI OLEH
SEBARANG HARAPAN.
Orang yang masih
dalam perjalanan sangat teringin untuk cepat sampai kepada Allah s.w.t. Dia
terpesona melihat keadaan orang-orang yang telah sampai. Kadang-kadang timbul
rasa tidak sabar untuk ikut sama sampai kepada tujuannya. Perasaan tidak
sabar akan menimbulkan harapan atau cita-cita agar ada seseorang yang dapat
menolong mengangkatnya. Orang yang diharapkan itu mungkin terdiri daripada mereka
yang telah sampai atau mungkin juga dia menaruh harapan kepada wali-wali
ghaib dan malaikat-malaikat. Maksud dan tujuannya tidak berubah, iaitu sampai
kepada Allah s.w.t tetapi dalam mencapai maksud itu sudah diselit dengan
harapan kepada selain-Nya. Ini bermakna sifat bertawakal dan berserah dirinya
sudah bergoyang. Sebelum dia terjatuh, Hikmat 47 ini menariknya supaya
berpegang kepada al-Karim. Walau kepada siapa pun diletakkan harapan namun,
harapan dan orang berkenaan tetap mencari al-Karim. Tidak ada harapan dan
cita-cita yang dapat melepasi al-Karim.
Al-Karim
adalah salah satu daripada Asma-ul-Husna. Nama ini memberi pengertian
istimewa tentang Allah s.w.t. Al-Karim bermaksud:
1: Allah s.w.t Maha Pemurah. 2: Allah s.w.t memberi tanpa diminta. 3: Allah s.w.t memberi sebelum diminta. 4: Allah s.w.t memberi apabila diminta. 5: Allah s.w.t memberi bukan kerana permintaan, tetapi cukup sekadar harapan, cita-cita dan angan-angan hamba-hamba-Nya. Dia tidak mengecewakan harapan mereka. 6: Allah s.w.t memberi lebih baik daripada apa yang diminta dan diharapkan oleh para hamba-Nya. 7: Allah Yang Maha Pemurah tidak kedekut dalam pemberian-Nya. Tidak dikira berapa banyak diberi-Nya dan kepada siapa Dia memberi. 8: Paling penting, demi kebaikan hamba-Nya sendiri, Allah s.w.t memberi dengan bijaksana, dengan cara yang paling baik, masa yang paling sesuai dan paling bermanafaat kepada si hamba yang menerimanya.
Sekiranya
para hamba mengenali al-Karim nescaya permintaan, harapan dan angan-angan
tidak tertuju kepada yang lain melainkan kepada-Nya. Allah al-Karim
menciptakan makhluk dengan kehendak-Nya tanpa ada kaitan dengan sebarang
permintaan, cita-cita atau harapan sesiapa pun. Dia menentukan dan menetapkan
hukum pada setiap kejadian-Nya dengan kehendak-Nya juga. Dia menyediakan
segala keperluan makhluk-Nya dan mempermudahkan makhluk-Nya memperolehi
rezeki masing-masing dengan kehendak-Nya juga. Tidak ada sesuatu yang campur
tangan dalam urusan-Nya membahagikan kebaikan kepada makhluk-Nya.
Manusia
terhijab memandang kepada kemurahan al-Karim oleh sikap mereka sendiri.
Mereka menerima sesuatu kebaikan al-Karim sebagai perkara semulajadi sehingga
mereka lupa perkara yang mereka anggap sebagai semulajadi itu sebenarnya
dijadikan, tidak ada sebarang kebetulan pada urusan Tuhan. Tuhan mengatur
sesuatu dengan rapi, kemas dan sempurna, tiada sebarang kecacatan dan tidak
ada kebetulan. Pergantian siang dengan malam, perubahan cuaca, keberkesanan
sistem sebab-akibat adalah kurniaan al-Karim untuk manfaat makhluk-Nya, tanpa
sesiapa meminta Dia berbuat demikian. Sistem perjalanan darah, pernafasan,
perkomahan, penghadhaman dan semua yang ada dengan manusia adalah kurniaan al-Karim
yang memberi tanpa diminta. Manusia tidur malamnya dan dikejutkan oleh
al-Karim pada siangnya tanpa diminta. Al-Karim menaburkan ikan-ikan di laut
sebagai makanan manusia tanpa diminta. Al-Karim menurunkan hujan dan
menyuburkan pokok-pokok tanpa diminta. Tidak dapat dinilaikan betapa besar
dan banyaknya nikmat yang disediakan oleh al-Karim untuk makhluk-Nya tanpa
mereka meminta. Makhluk berbangsa manusia adalah yang paling banyak menikmati
kemurahan al-Karim.
Makhluk
yang tidak dibekalkan nafsu dan akal tidak tahu meminta. Mereka
menerima apa sahaja yang al-Karim sediakan buat mereka. Manusia yang
dibekalkan nafsu dan akal selain menerima segala nikmat yang disediakan oleh
al-Karim tanpa mereka mengajukan permintaan, mereka juga mempunyai keinginan,
harapan, cita-cita dan angan-angan. Dalam banyak perkara yang mereka inginkan
mereka ajukan permintaan kepada Allah s.w.t. Allah al-Karim bukan sekadar
memberi apa yang diminta malah Dia memberi juga apa yang dicita-citakan,
diharapkan dan angankan.
Al-Quran
mengingatkan manusia supaya mengenang nikmat kebaikan dan kemurahan Allah
al-Karim.
Maka yang mana
satu di antara nikmat-nikmat Tuhan kamu, yang kamu hendak dustakan
(wahai umat manusia dan jin)? ( Ayat 13 : Surah ar-Rahmaan )
Ayat di
atas diulang sebanyak 31 kali dalam satu surah sahaja iaitu surah ar-Rahman.
Wahai bangsa jin dan bangsa manusia yang dipikulkan tanggungjawab pengabdian
kepada Allah s.w.t! Perhatikan nikmat, rahmat, kasihan belas dan kasih
sayang-Nya, yang mana satu yang mahu kalian dustakan? Allah s.w.t menanyakan
yang sama sebanyak 31 kali. Tiang Arasy bergegar sekiranya Allah s.w.t ajukan
pertanyaan ini kepada para malaikat yang menanggung Arasy. Apakah tidak
hancur hati kamu mendengar pertanyaan Tuhan ini? Makhluk bangsa jin yang
beriman menyambut pertanyaan Tuhan ini dengan jawapan:
Ya Tuhanku! Tidak
ada sesuatu pun dari kurnia Engkau, ya Rabbana, yang dapat kami dustakan.
Allah!
Ar-Rahman! Al-Karim! Kepada siapa lagi hendak kamu ajukan permintaan? Kepada
siapa lagi hendak kamu sandarkan harapan? Bukankah Dia telah berfirman:
Ia telah menetapkan atas diri-Nya memberi rahmat. ( Ayat 12 : Surah al-An’aam )
Contohilah
sikap Nabi Ibrahim a.s yang sentiasa bergantung kepada al-Karim dan tidak
kepada yang lain. Beliau a.s menolak pertolongan yang ditawarkan oleh
malaikat Jibrail a.s. Beliau a.s yakin bahawa Allah al-Karim tidak akan
membiarkannya. Penyerahan Nabi Ibrahim a.s kepada al-Karim tidak sia-sia.
Kami berfirman:
“Hai api, jadilah engkau sejuk serta selamat sejahtera atas Ibrahim!”. ( Ayat 69 :
Surah Anbiyaa’ )
Allah s.w.t,
al-Karim, menerima penyerahan penuh Nabi Ibrahim a.s dan Dia melindungi
hamba-Nya yang bertawakal itu.
Berkata pula
seorang yang mempunyai ilmu pengetahuan dari kitab Allah: “Aku akan
membawanya kepadamu dalam sekelip mata!” Setelah Nabi Sulaiman melihat
singgahsana itu terletak di sisinya, berkatalah ia: “Ini ialah dari limpah
kurnia Tuhanku, untuk mengujiku adakah aku bersyukur atau aku tidak
mengenangkan nikmat pemberian-Nya. Dan (sebenarnya) sesiapa yang bersyukur
maka faedah syukurnya itu hanyalah terpulang kepada dirinya sendiri, dan
sesiapa yang tidak bersyukur (maka tidak menjadi masalah kepada Allah),
kerana sesungguhnya Tuhanku Maha Kaya, lagi Maha Pemurah”. ( Ayat 40 : Surah
an-Naml )
Al-Karim yang
menyejukkan api dari membakar Nabi Ibrahim a.s, Dia jugalah yang membawa
Balkis dan istananya kepada Nabi Sulaiman a.s. Kurniaan Al-Karim tidak dapat
diukur dan disukat. Dia memberi terlalu banyak kerana Dia sangat Pemurah.
Wahai Tuhan
kami. Walau bagaimana banyak sekalipun kami menyebut kebaikan Engkau namun ia
tetap tidak mencukupi. Ampunilah kami lantaran kelemahan kami menyatakan
syukur yang selayaknya kepada Engkau.
|
0 comments:
Post a Comment